Monday 10 February 2014

Dia Suami Aku Rupanya (DIAR) Bab 14

Bab 14

“Aku terima nikahnya Syifa Imani bt Mohd Dollah dengan mas kahwin sebanyak 80 ringgit tunai.” Bergema seluruh rumah kecil itu. Fikirannya bercelaru. Tiba-tiba bahunya dicuit seseorang. 


Syifa angkat muka. “ Kenapa?” Dia berbisik ke arah temannya, Aneesa. 
Aneesa menjuihkan bibirnya. “ Tu..tu..”



Syifa mengalihkan muka ke depan. Tersembul wajah Datin Suraya dan Adi Firkash. Dah kahwin ke? Dah sah ke? Dia menyoal diri sendiri. Tangan Adi Firkash dicium penuh hormat. Jantungnya berhenti berdegup apabila sepasang bibir milik Adi Firkash mendarat elok di dahinya. Dia tidak keruan. Kenapa dengan aku ni? Takkan dah jatuh cinta kot.



Ketika Syifa menebarkan seluruh pandangan, tetamu berbisik antara satu sama lain. Mereka bercakap sesama sendiri. Syifa mengerti. Mungkin di fikiran mereka, Syifa bodoh kerana sanggup menikahi orang buta. Tetapi Syifa tidak ambil pusing. Hidup aku, biarlah buat apa mereka sibuk-sibuk. Terus sahaja tangan suaminya dipaut.



Adi Firkash terkejut apabila tangannya dipaut seseorang. “ Tak payah pakai tongkat. Saya bawa awak.” Gemersik suara Syifa menyentuh gegendang telinganya.



Aneesa yang melihatnya dari jauh tersenyum bahagia. Bertuah Akash dapat kau, Syifa. Datin Suraya mengelap air mata. Terharu dia melihat Syifa yang memaut lengan suaminya lalu dibawa ke pelamin. Bukan dia tidak dengar orang sedang mengata. Dia hanya memekakkan telinga. 



Mama doakan kamu bahagia hingga ke anak cucu.



Adi Firkash merebahkan diri ke atas tilam. Terasa sengal seluruh badan. Tiba-tiba fikirannya mula mengingati peristiwa tadi.



‘ Suami dia butalah. Takkan perempuan cantik macam dia nak kahwin dengan orang buta? Ni mesti sebab harta. Aku gerentilah dia kena bayar.’ Berdesing telinga Adi Firkash menangkap kata-kata itu. Kalau dia boleh nampak, saat tu juga dia lari dan batalkan perkahwinan. Perempuan semuanya sama.



Syifa membuka pintu dari luar. Kelihatan Adi Firkash sedang berbaring di atas tilam. Penat barangkali. “ Awak dah nak tidur ke?” Syifa membuka bicara. Tuala di penyidai dicapai lalu kakinya menuju ke bilik air tanpa menunggu jawapan daripada Adi Firkash.



Belum sempat Adi Firkash membalas, titisan air di dalam bilik air kedengaran. Mandi kot. Kejap lagilah aku tanya.



Datin Suraya melabuhkan punggung di sebelah Mak Som. Baru sempat mereka berbual-bual panjang. Memandangkan tetamu semuanya sudah pulang, mungkin inilah masa yang sesuai untuk berborak fikirnya.



“ Som, terima kasih.. Som.” Datin Suraya membuka bicara. Mak Som yang sedang membuka hadiah daripada tetamu tersentak. 



“ Eh, kau rupanya.. Sue. Terkejut aku. Jomlah buka hadiah ni sama-sama. Senang sikit kita nak simpan nanti. Tak adanya nak menyemak kat hujung dinding tu haa..” Bibirnya dijuihkan ke arah dinding. Datin suraya tidak membantah. Tangannya terus ligat membuka balutan.



“ Som…” panggilnya lagi.



“ Kenapa dengan kamu ni, Sue? Dari tadi lagi panggil aku. Rindu sangatlah tu..” Kata-kata itu mengundang tawa Datin Suraya.



“ Kalsom, Kalsom, perangai tak ubah-ubah. Lawak macam dulu lagi,.” bidasnya dengan tawa.



Mak som turut ketawa.



“ Terima kasih ye, Som? Sudi terima anak aku sebagai menantu. Kalau tak, tak tahulah siapa yang sanggup terima anak aku. Dahlah buta..” Suaranya berbaur sedih.



“ Kau jangan cakap macam tu, Sue. Semuanya jasa Syifa. Dah dia yang pilih Akash, bukan sebab aku. Semuanya kerana dia. Akash orang yang dia sayang, kita hanya melakukan apa yang perlu.” Jujur dia berkata-kata. 



Datin Suraya mengeluh lemah. Kalaulah Kalsom tahu apa yang berlaku..



“Berapa mama bayar kau?” Terkejut monyet Syifa. Matanya mencerlung memandang Adi Firkash. Amboi, amboi, amboi! Kau ingat aku lapar sangat dengan harta mak bapak kau? Syifa mendengus geram.



“ Dua juta. Puas hati?” Dia kembali menyikat rambutnya. Adi Firkash dibiarkan sepi. Malas nak melayan soalan bodoh macam tu.



Adi Firkash terkejut. Matanya terbeliak. Dua juta? Biar betul mama ni. Dah hilang akal ke apa? Dia mengepal penumbuk. Kakinya terus melangkah mendapatkan Syifa. Namun semua itu hanya sia-sia. Dia lupa yang dia buta. 



Syifa tersentak apabila mendengar sesuatu dilanggar dan Adi Firkash mengaduh kesakitan. Lantas dia berpaling ke belakang.



“ Haa, kan dah kena. Siapa suruh awak jalan-jalan kat sini. Duduk je atas katil awak tu. Kalau nak pergi mana-mana bagitahu saya. Degil betullah awak ni.” Syifa membebel geram. Dia mencapai lengan Adi Firkash untuk membantu dia bangun. Namun kudratnya yang tidak seberapa membuat Syifa jatuh kembali.



Matanya terbeliak luas. Hanya tinggal seinci sahaja lagi jaraknya dengan Adi Firkash. Jantung berdegup kencang. “ Betul ke mama aku bayar kau dua juta?” Adi Firkash memecah kebisuaan Syifa.



Syifa tersentak mendengar suara suaminya. Cepat-cepat dia tersedar. Hish, aku ni. Perasan sorang-sorang. Dia bukannya nampak aku pun. Syifa mengutuk diri sendiri.



“ Betul ke aku tanya?” Suaranya ditekan sedikit.



“ Kalau betul kenapa?” Syifa menguji Adi Firkash. Seronok!



“ Kau ni kan…” 



“ Tak kebulur lagi saya nak minta duit family awak. Saya tak sejahat tu. Berkahwin kerana harta. Saya ikhlas nak jaga awak. So, awak tak payah risau.” Sekali lagi tangan Adi Firkash dipegang. Tetapi Adi Firkash menarik kasar.



“ Penipu. Bukan kerana harta konon.” Adi Firkash membalas. 



Kesabaran Syifa menipis. “ Fikirlah apa yang awak nak fikir. Malas nak layan awak. Cepat bangun. Kalau tak saya tinggal je awak dekat sini. Then, awak bukannya nampak pun apa yang ada sekitar awak.” Syifa mengugut.



Adi Firkash terkedu. Segera dia berdiri. Tangannya menggapai tangan Syifa. Syifa senyum menyenget. Tahu takut.



“ Dah. Awak baring kat sini.” Tubuh sasa Adi Firkash dibaringkan di atas tilam. Selimut di kaki di tarik sehingga ke paras dada Adi Firkash.
“ Kau tidur sini juga ke?”



Syifa terdiam. Yelah, mana aku nak tidur? Apasal aku tak fikir pasal ni tadi? Dia mengaru-garu kepala. “ Malam ni saya tidur kat bilik sebelah kot.” 



Adi Firkash terperanjat mendengar jawapan Syifa. “ Kau jangan buat gila, Syifa. Nanti mama tahu, mati kau aku kerjakan.” 



Syifa mengetuk kepalanya. Aduh, kenapa aku tak terfikir pula. Aku kan dah kahwin. Adoi, susahlah macam ni.



Adi Firkash panik apabila seseorang sedang tidur di sebelahnya. Dahlah tak nampak apa-apa. 



“ Kau tidur sini juga ke?”



“ Dah tu awak nak suruh saya tidur mana? Dengan mak? Ke dengan ayah? Tidur jelah, saya tak buat apa-apa kat awak. Saya masih suci.” Syifa menjawab polos.



Akash terkejut mendengar jawapan Syifa. Biar betul minah ni. Namun, malas hendak berbalah pula kerana badan yang sudah lesu. Akhirnya dia terlelap di sisi isteri baru dinikahi petang tadi.



Keesokan harinya, Mak Som sibuk menyediakan sarapan. Berdentam-dentum bunyi kuali di atas dapur.



“ Kamu masak apa, Som?” Pak Dollah menuruni tangga penuh hati-hati. Isterinya dipandang penuh kasih sayang. 



“ Tak masak apa-apa pun, bang. Mee goreng je. Air kopi abang kat atas meja tu Som letak.” Mak Som masih leka mengacau makanan. 



“ Hah Syifa, mana suami kamu?” Pak Dollah menegur lembut anaknya. 



“Dalam bilik, ayah. Tengah siap-siap agaknya.” Dia menarik kerusi di sebelah ayahnya. Cekodok dicapai lalu disumbat ke dalam mulut.



“ Bertuah punya anak.” Tangan Syifa ditampar lembut. 



Syifa mengosok lembut tangannya. “Sakitlah, ayah..” rungutnya manja.



“ Haa, Syifa. Akash mana?” soal maknya pula. “ Ajak dia turun makan,” arah Mak Som sambil menghidang makanan di atas meja.



Syifa bingkas bangun. Dalam kemalasan dia melangkah pergi. “Awak, dah siap ke? Mak ajak turun.” Syifa menyandar di pintu. Matanya liar memandang Adi Firkash di atas tilam. 



“ Tak nak. Kau ajelah makan..”



Ish, degil tak sudah-sudah. Nasib kaulah, Syifa. “ Jangan degil boleh tak? Mengada..” balas Syifa geram. Tangan Adi Firkash di tarik lembut. “ Tongkat aku..”



“ Tak apa, biar saya jadi tongkat awak.” Dia terus memimpin tangan Adi Firkash. Penuh hati-hati dia menuruni tangga. Semakin erat pegangannya ke lengan Adi Firkash bimbang tersalah langkah. “Hati-hati.” Adi Firkash mengangguk.



Tiba-tiba, Adi Firkash tergelincir di anak tangga yang paling bawah sekali. Menyerbu darah naik ke muka. Mana taknya, pinggang Syifa erat dipeluk Adi Firkash. Mak dan ayah tersenyum penuh makna melihat mereka.



“ Hati-hati Akash, Syifa..” tegur mak.



“ Ya…ya, mak.” Syifa menepis tangan sasa Adi FIrkash yang elok berada di pinggangnya.



“ Tak sengajalah. Tak hingin pun. Aku kan tak nampak?” Adi Firkash berbisik di telinga Syifa. Tangannya cuba meraba-raba sesuatu supaya mudah berpegang. Tadi tak bagi aku bawa tongkat. Biar saya jadi tongkat awak konon. Adi Firkash mengejek.
Syifa yang melihat Adi Firkash meraba-raba terus menghulurkan tangannya. Dia memimpin suaminya ke meja makan.



“ Hari ini kamu pulang, Syifa?” Ayah bertanya sebaik sahaja Syifa melabuhkan punggungnya. 



“ A’ah, ayah. Lepas zohor kot.”



“ Kenapa tak tunggu esok je, Syifa?” Sambung emaknya pula.



“ Mana boleh, mak. Dah banyak hari Syifa cuti. Berlambak kerja kat office, mak.”



“ Semalam aje baru kamu kahwin, hari ni dah nak balik?” Suara emak berbaur sedih.



‘Ala, ni aku lemah ni. Asal balik je tak bagi pergi.’ Syifa bermonolog.



“ Akash, kamu pun nak balik hari ini juga?” Emak menyoal Akash. Syifa dah tayang muka pelik. Apa jadah soalan?



Pak Dollah mengerutkan dahinya. “ Apa kamu mengarut ni, Som? Dah Akash tu suami si Syifa, sah-sahlah dia balik hari ini kalau Syifa balik. Mestilah dia ikut isteri dia. Kamu ni, Som.” Pak Dollah menggelengkan kepalanya.



Adi Firkash senyum meleret. Lucu dengan soalan emak mertuanya. Mak Som tarik muncung itik.



1 comment:

  1. Casino Games - Mississippi Department of Revenue
    Casino Games 천안 출장안마 is the Mississippi state's first casino to offer 오산 출장마사지 electronic video poker, a 군포 출장마사지 live dealer table poker, and an electronic lottery. 사천 출장마사지 Mississippi Gaming ‎Casino · ‎Mobile 경주 출장샵 Casino · ‎Casino Games · ‎Promotions

    ReplyDelete