Monday 10 February 2014

Dia Suami Aku Rupanya (DIAR) Bab 9

Bab 9
 
Volume radio dikuatkan. Lagu ‘Love Is The Moment’ nyanyian Changmin dari kumpulan 2AM dimainkan. Kepalanya turut tergeleng mengikut irama melodinya. Sekejap pedal minyak ditekan, sekejap brek ditekan. Syifa Imani naik menyampah. Cermin kereta dibuka sedikit untuk mengeluarkan kepalanya. Bapak panjang! Bibirnya terkumat kamit.

“ Ish, masa nilah dia nak jammed! Nak pergi manalah semua orang ni? Tak reti duduk rumah ke apa?” Syifa membebel seorang diri. Cermin mata yang ditanggal, dipakai semula. Bahang matahari menembusi cermin sehingga memedihkan matanya.

Syifa mengerling sekilas jam di tangannya. Hampir pukul 9 pagi. Alamak! Lewat gila. Mati aku kena balun dengan bos yang tak berguna tu. Serta merta fikirannya melayang mengingati peristiwa minggu lepas.

“ Syifa Imani! Masuk bilik saya sekarang juga!” Fakir Ahmad bersuara lantang. Semua pekerja di situ diam membisu. Hah, sudah! Singa sudah mengamuk. Mati kau, Syifa Imani. Salah seorang teman sepejabatnya berbisik di telinga.

Syifa menjongket bahu. “ Buat apa nak takut? Macam kau tak biasa tengok semua ini. Biasalah tu, dah orang tak suka kita.” Syifa mengibas sedikit rambutnya yang panjang mengurai itu. Pin dibetulkan sedikit.

Nana yang melihatnya melopong. Biar betul minah ni! Rileks gila. Kalau aku, nak terkencing kalau bos tiga suku tu mengamuk.

Syifa melangkah masuk ke dalam bilik yang tertera ‘Fakir Ahmad’ dengan selamba. Fakir panggung kepala. Dahlah masuk tak ketuk pintu. Berani betul budak ni.

“ Syifa Imani! Berapa kali saya nak cakap dengan awak?! Kalau nak kerja tu, serius sikit. Buat elok-elok! Tapi kamu buat apa? Tengok semua proposal yang kamu buat! Typing error sana sini. Apa kamu tak sekolah ke dulu?!”

Berdesing telinga Syifa mendengarnya. Ini sudah melampau. Setakat baling proposal kena muka aku, boleh tahan lagi. Sekolah tak sekolah jangan sebut! Syifa mengetap gigi geram. Tangannya dikepal sekuat mungkin mengepung kesabaran.

“ Buat apa kamu tercegat kat situ macam patung?! Kamu buta? Kutip proposal bodoh kamu tu?!” Fakir mencekak pinggang. Puas hatinya! Segala dendam terbalas. Kalau nak ikutkan hati, proposal yang dibuat oleh Syifa semuanya sempurna. Typing error semua tu kerjanya sendiri. Fakir senyum kemenangan. Rasakan kau perempuan. Padan muka kau! Hatinya berkata-kata.

Segala kesabaran ditelannya. “ Kau yang buang. Kaulah yang kutip sendiri. Jangan ingat kau bos aku, kau boleh buat sesuka hati kau. Sedar sikit diri tu, wei. Setakat pegang jawatan bos kepada aku, dah nak berlagak lebih. Kalau kau CEO takpe juga. Ni, makan gaji macam aku juga, tak ke manalah! Kenapa? Nak pecat aku? Pecatlah kalau boleh.” Syifa menghamburkan amarahnya. Terdiam Fakir Ahmad seketika. Syifa dengan wajah tersenyum keluar daripada bilik.

Hon yang dibunyikan mengejutkan Syifa daripada lamunan. Segera dia menekan pedal minyak. “ Sabarlah kejap. Dah tak reti-reti sabar ke?” Syifa membebel.

15 minit kemudian, Syifa sampai ke tempat kerjanya. Dia membelok Perodua Myvi ke tempat parking. Kakinya laju menghayun langkah. Tergopoh-gapah dia berlari mendapatkan lif yang sedang terbuka. Ini semua jammed punya pasal. Lewat aku sampai hari ini.

Ketika lif sampai ke tingkat 5, handphonenya berbunyi.

“Assalamualaikum, mak. Syifa baru masuk kerja, mak. Kenapa?”

“ Ya,ya.. Syifa tahulah mak. Mak jangan risau. Syifa akan buat kalau mak ikut apa yang Syifa nak. Yelah-yelah, mak. Syifa dah lewat ni. Kena masuk kerja.” Terus punat merah ditekan.

Mak Som menarik nafas lega. Bibirnya mengorak senyum. Gangang telefon diletakkan di tempat asalnya. Pak Dollah yang sedang menikmati air menegur isterinya yang kelihatan bahagia.

“ Kamu ni dah kenapa, Som? Senyum sorang-sorang. Macam dah tak betul dah abang tengok.”

“ Sampai hati abang cakap Som tak betul.” Mak Som menarik muncung itik. Dia melabuhkan punggungnya di sisi suaminya.

“Ala.. abang bergurau je, Som. Yang kamu ni nak sensitif lebih ni kenapa pula? Hah, kamu telefon Syifa ke Som? Sihat ke budak tu?” Pak Dollah menyoal isterinya. Dia mengeleng kepala melihat isterinya yang masih lagi tersenyum.

“ Sebab tulah saya senyum, bang. Syifa bersetuju dah nak kahwin.” Ceria suaranya.
Pak Dollah mengerutkan dahinya. “ Aik! Bukan ke kamu cakap minggu lepas perkahwinan di batalkan ke? Macam mana Syifa boleh setuju nak kahwin pula? Jangan-jangan kamu..” Mak Som segera mengangguk.

“ Kamu ni Som, buat apa nak tipu budak tu. Kesian dia. Kenapa kamu tak berterus-terang je diorang dah tarik balik pinangan?” Pak Dollah mengeluh.

“ Biarlah, bang. Kalau kita bagitahu dia, sampai bila dia tak kahwin. Sekarang ni Som dah setuju biarkan dia cari sendiri calon suaminya. Bukan Som paksa dia kahwin pun. Som nak tengok dia kahwin je, bang. Umur dah 24 masih lagi bujang macam tu. Perangai budak-budak dia pun masih ada. Sampai bila dia nak macam tu? Lagipun Syifa sorang ajelah anak kita, bang.” Mak Som meraih simpati.

“ Ikut suka kamulah, Som.” Pak Dollah mengalah.

Mak Som meraih mesra lengan suaminya. Dia sangat bahagia. Tak sabar rasanya nak ada menantu.

Syifa tekun menaip di atas keyboard. Satu lagi kertas kerja yang perlu disiapkan. Kali ini dia tak lagi berurusan dengan Fakir Ahmad, tapi dengan orang lain. Melimpah ruah bibirnya memanjat kesyukuran.

“ Fa, tak nak balik lagi?” tegur teman sepejabatnya, Nana.

“ Belum. Banyak lagi ni. Aku nak siapkan cepat. Malas nak tangguh-tangguh. Kau balik dululah.” Syifa menjawab tanpa memandang wajah temannya. Matanya masih lagi tekun menaip.

“ Okey.” Sepatah sahaja keluar daripada bibir Nana.

Kertas kerja yang hampir siap itu diperhati dengan teliti. Bimbang kalau-kalau ada kesilapan ejaan. Syifa terus menaip dan akhirnya butang empat dari kanan ditekan. Noktah! Kemudian butang save diklik buat kali terakhir. Done!

Syifa mengurut matanya yang sedikit kabur. Penat asyik menghadap laptop aje hari ni. Dia menyandar lesu di kerusi. Pelipis turut diurut perlahan. Sekilas matanya terpandang jam yang tersangkut di dinding, tangannya terus mencapai handbag. Kaki terus dihayun keluar daripada pejabat.

Tepat pukul 10.00 malam Syifa sampai dirumah. Pintu grill dibuka penuh hati-hati. Aneesa yang sedang menonton televisyen bingkas bangun apabila mendengar pintu dibuka. “ Lambat kau balik hari ini?” Dia menyoal.

“ Terkejut aku, kau ni. Cubalah beri salam dulu. Ni tak.. buat aku ada penyakit jantung ke, kang mati kat sini kan.” Syifa memarahi Aneesa.

“ Hah, minta lagi.. minta lagi. Mulut tu kalau tak celopar, boleh tak?” Aneesa meluku kepala temannya itu.

“Auchh?! Sakitlah.” Syifa mengosok lembut kepalanya yang diluku tadi. Kakinya terus dihayun menuju ke biliknya.

“ Hah! Nak pergi mana pula tu?” Aneesa menegur apabila melihat Syifa menonong pergi.

‘Minah ni dah kenapa?’ Syifa tayang muka heran. “ Disco,” jawabnya pendek.
Aneesa menjegilkan matanya apabila mendengar jawapan daripada bibir Aifa.

Dia mencekak pinggang. “ Amboi..”

“ Dah tu tanya lagi. Kau tak nampak ke aku nak masuk bilik ni? Nak mandi, melekit sangat. Lepas tu terus tidur, penat plus mengantuk. Puas hati?!” Syifa menjawab laju sambil tersengih. Pintu bilik dibuka.

Aneesa tersenyum geli hati. Saja dia nak mengusik Syifa sebenarnya.
Setelah usai mandi, Syifa menghempaskan tubuhnya di atas tilam. Selimut ditarik sehingga menutupi dada. Badannya mengiring, lalu tangannya mencapai frame gambar yang terletak di atas meja. Foto mak, ayah dan seorang lagi insan ditatap penuh rindu. Tangannya mengusap lembut wajah milik keluarganya.

Frame gambar itu dibawa kedada. “ Mak,ayah, abang.. Syifa rindu. Mak, Syifa rindu abang.” Tak diduga olehnya, air mata mengalir laju. Syifa mengelap lembut pipinya. Dia mendakap erat frame tersebut. Terasa senak di dada akibat menahan sebak. Dia menangis teresak-esak seperti kanak-kanak kecil. Rindu di dalam dada mencengkam sanubarinya. Segala kenangan bersama insan tersayang kembali menerjah. Syifa menyembam wajahnya di permukaan bantal.

Pada masa yang sama, hal perkahwinan tiba-tiba terlayar di benaknya. Dia buntu. Apapun yang terjadi, keputusan emak tiada siapa boleh melawannya. Nak tak nak, dia terpaksa berkahwin juga. Syifa rasa seperti ingin bunuh diri apabila memikirkan soal itu. Air matanya di lap kasar. Dia nekad, sesiapa je yang datang kepadanya selepas ini, itulah bakal suaminya. Dia dah tak kisah siapa pun orang itu.

Demi menutup mulut mak, dia sanggup kahwin dengan sesiapa pun! Dia tekad! Sedar tak sedar tak sedar dia terlelap bersama tangisan.

1 comment:

  1. $100+ FREE casino coupon codes & deals for Dec. 17 - Riders
    Free casino coupons & deals for Dec. 카지노 17. December 카지노 23, 2021. Get free casino coupon codes, coupons, promotions, rewards, m88 ทางเข้า

    ReplyDelete