Monday 10 February 2014

Dia Suami Aku Rupanya (DIAR) Bab 7

Bab 7

Angsa kesayangan Pak Dollah sedang sibuk di sarangnya mengeram telur. Itik nila yang sebanyak tiga ekor itu juga sedang asyik berenang ke tepi ke tengah kolam bersama 10 ekor anak yang kuning keemasan.Teratai-teratai berwarna merah jambu terapung dipermukaan menyerikan ketenangan kolam di petang yang hening ini. Ayam-ayam bebas mengejar sesama sendiri, manakala burung berkicauan di udara dengan gembira.

"Semalam Datin Suraya ada telefon.” Mak Som membuka bicara.

“ Dia nak apa?” Pak Dollah menyoal isterinya kembali. Mak Som melangkah menghampiri suaminya yang duduk mencangkung memberi itik dan ayam makan. Begitulah rutin seharian, memberi makan angsa, itik dan ayam setelah setahun dia pencen sebagai askar.

“Dia nak batalkan perkahwinan anak dia dengan Syifa.” Sendu Mak Som berbicara. Kecewa pun ada.

“Hah! Baguslah tu.” Pendek sahaja jawapan yang keluar dari bibirnya. Matanya masih lagi tertumpu kepada ayam dan itik di depan.

“Bagus abang cakap?” Mak som terperanjat. Hanya itu jawapan yang keluar daripada bibir suaminya. Punyalah dia kecewa gila, bagus jawapannya? Ish, sakit hati je cakap dengan orang tua ni!

Pak Dollah terkejut apabila bekas makanan di tangannya dirampas kasar. Segera dia mengalihkan pandangan ke arah isterinya. Muka tidak puas hati jelas kelihatan di wajah tua Mak Som. Pak Dollah melangkah pergi.

“Bukan apa Som. Kamu sendiri dah tahu kan, yang Syifa tak nak kahwin dengan siapa tu? Haa, anak teman kamu tu. Buat apa kita nak paksa dia lagi. Kesian dekat Syifa tu Som.” Kain lepas yang tersidai ditangga di ambil lalu disangkut ke bahunya.

Mak Som turut melangkah membuntuti suaminya. Jiwanya ralat tidak dapat berbesankan kawan baiknya. “Ala, Syifa tu. Abang bukan tak kenal dengan perangai degilnya tu. Kalau tak paksa takde maknanya dia nak ikut bang. Nak tunggu dia kahwin, sampai ke tua lah saya tak merasa nasi minyak anak sendiri.” Mak Som melabuhkan punggung di anak tangga. Pandangannya jatuh ke wajah tua Pak Dollah yang sedang mengelap peluh.

“Ish, ke situ pula kamu ni. Asyik fikir yang bukan-bukan aje kamu ni kan? Ada ke doakan anak sendiri macam tu.”

“Saya bukan doakan bang. Saya cuma bagitahu. Haa, cuba abang bagitahu saya, selama Syifa duduk dengan kita, ada ke dia bagitahu abang dia kenal mana-mana lelaki? Takde kan? Sebab tulah saya risau bang. Jangan-jangan si Syifa tu..”

“Kamu jangan nak melalutlah Som. Syifa tu normal je abang tengok. Semalam baru dia telefon abang, dia cakap dia tak nak kahwin dengan anak kawan awak tu. Kalau awak nak sangat dia kahwin, biar dia cari sendiri.” Pak Dollah memotong kata-kata isterinya.

“Betul ke bang?” Wajah yang tadi muram bertukar menjadi ceria. Dia bukan kisah sangat dengan siapa Syifa berkahwin. Asalkan dia sempat melihat anaknya berkahwin, itu sudah cukup buatnya. “Hah! Tengoklah anak abang tu. Tak mahunya telefon saya. Sikit-sikit abang, apa-apa hal abang. Anak bapa la katakan.”

Mak som tarik muncung. Pak Dollah mengeleng lembut sambil menyengih. “Kamu ni kan Som, dengan saya pun kamu nak cemburu. Macam mana dia nak telefon kamu, kalau kamu asyik paksa dia je. Bukannya dia tak sayang kamu Som oi..” Mak som mencebik mendengar kata-kata suaminya.

“Pak Dollah.. Pak Dollah..”

Pak Dollah dan Mak Som menoleh serentak. Amar anak jiran sebelah memberhentikan motosikalnya di hadapan Pak Dollah.

“Kamu ni dah kenapa pula Amar? Dari jauh lagi kamu panggil, ada apanya ni?” Pak Dollah mendekati Amar.

“Tok Iman nak jumpa.” Amar tersengih-sengih. Ditepuknya tempat duduk dibelakang menyuruh Pak Dollah memboncengnya.

“Abang pergi dulu Som. Kalau ada apa-apa nanti bagitahu abang.”

“Yelah.” Mak Som mengangguk laju. Tangan tua milik Pak Dollah disalaminya. Dia menghantar pemergian suaminya dengan ekor mata sehingga mereka hilang dari pandangan. Kakinya diatur memanjat tangga. Sekilas dia memandang jam didinding. Jarum jam sudah pukul 1. Alamak! Lupa pula nak masak. Tak pasal-pasal orang tua tu membebel.

Mak Som mengatur langkah ke dapur. Bahan-bahan masakan dikeluarkan dari dalam peti. ‘Hari ini, masak kari kepala ikan, sayur kalian, ikan goreng. Dah cukup kot.’ Segala bahan-bahan masakan dibawa ke sink untuk dibersihkan. Lincah tangannya membasuh bahan-bahan tersebut. Kalau bab memasak memang menjadi kepakarannya. Sebab itulah Pak Dollah tersangkut dengannya. Air tangan isterilah katakan. Salah satu rahsia untuk memikat suami. Mak Som tersengih sendirian. Tangannya mula melakukan kerja.

Syifa mengeluh kasar. Dia merenung ke dada langit. Bintang-bintang yang bertaburan di dada langit setia menemani sang bulan. Syifa meraup mukanya. Tensionnya sudah naik ke kepala. Dia dah berjanji dengan ayahnya siang tadi yang dia akan berkahwin! Dengan syarat, pilihannya sendiri. Tapi mana aku nak korek lelaki tu?

Dia kebuntuan. Kakinya melangkah ke bilik tidur. Syifa duduk di birai katil. Wajah mak dan ayah di dalam frame di tatap kosong. Dia tak tahu apa yang perlu dia buat sekarang. Kenapa emaknya beria-ria sudruh dia kahwin. Padahal sebelum ini tak pernah pun sebut soal kahwin. Ni tiba-tiba aje!

Syifa menghempas tubuhnya ke tilam. Dia merenung siling rumahnya. Aku baru je nak enjoy-enjoy, kena paksa kahwin pula. Kenapalah emak tak pernah faham keinginan aku! Dia mengeluh kasar. Macam budak-budak! Kena paksa buat tu, buat ni. Eiy, geramnya aku!

Tanpa di sedari dia meramas kasar cadarnya. Matanya mula bergenang. Aneesa ingin menerjah bilik Syifa. tetapi apabila melihat keadaan temannya yang serabut itu, dia terus mematikan niatnya. Pintu bilik Syifa di tutup perlahan.

‘Kesian kau Syifa.’ Desis hati kecilnya. Dia sendiri buntu apabila memikirkan masalah Syifa. hal ehwal kahwin ni bukan boleh buat main-main. Kita perlu kenal dulu hati budi bakal suami kita sebab kita akan serahkan hidup kita seumur hidup kepadanya. Andai kata tersilap pilihan, binasa hidupnya.

Aneesa turut mengeluh. Dia mengeluh sambil mengatur langkah ke biliknya. Syifa ditinggalkan bersendirian di dalam bilik.

No comments:

Post a Comment